Sunday, December 1, 2013

Keganasan Rumahtangga

Wanita yang bergelar isteri ialah hak mutlak seorang suami untuk dikasihi, dicintai dan dilindungi sepanjang perkahwinan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Rumahtangga yang bahagia merupakan impian setiap wanita di dunia ini untuk hidup bersama-sama dengan suami yang mereka cintai. Bukan sahaja mengimpikan mahligai bahagia di dunia malah turut menginginkan kebahagiaan sehingga ke Syurga bersama-sama suami.
Hakikatnya, kadangkala impian yang diinginkan boleh berubah menjadi igauan ngeri dan tidak dapat dijangkakan oleh para isteri. Perubahan sikap oleh para suami selepas mendirikan rumahtangga dapat dilihat melalui tingkah laku mereka yang semakin hari semakin dingin dan mula berani untuk mengangkat tangan terhadap isteri tanpa ada sebab yang munasabah.
Isu keganasan rumahtangga semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Suami dengan mudahnya memukul dan menendang isteri tanpa ada sekelumit rasa kasihan terhadap isteri yang tidak bersalah. Mereka memperlakukan isteri seperti ‘punching bag’ yang boleh ditendang, diterajang, dan dipukul sesuka hati walhal ia berpunca daripada perkara remeh dan tidak terlintas oleh akal fikiran akan menjadi punca utama.
Sikap panas baran yang sudah sedia ada dalam diri si suami merupakan faktor utama kepada berlakunya keganasan dalam rumahtangga. Golongan panas baran ini mempunyai pemikiran yang tidak rasional dan ada kalanya gagal untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya ketika berdepan dengan masalah lalu melepaskan semua tekanan terhadap si isteri.


Bagi si isteri yang menjadi mangsa perlakuan ganas suami, mereka hanya mendiamkan diri tanpa melakukan apa-apa tindakan yang sewajarnya. Ini disebabkan oleh perasaan sayang yang masih ada untuk si suami walaupun mereka telah diperlakukan dengan teruk. Golongan isteri ini kebanyakannya akan terus bersabar sekiranya mereka teruk dipukul oleh suami kerana memikirkan anak-anak yang masih memerlukan ibu dan ayah.
Kebanyakan keganasan rumahtangga ini tidak dilaporkan kerana ianya merupakan masalah peribadi dan amat sulit untuk pengetahuan umum. Mangsa akan terus berdiam diri selagi mereka mampu dan hanya akan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya kesabaran mereka telah sampai hadnya. Ketika ini, mungkin sahaja keadaan mereka telah teruk dan sudah sampai tahap yang kritikal.
Situasi sebegini mendatangkan kemudaratan terutamanya terhadap anak-anak yang melihat perlakuan si ayah terhadap ibu mereka. Saban hari mereka dipertontonkan dengan adegan ayah memukul ibu walaupun disebabkan oleh hal yang remeh temeh akan membekaskan kesan dalam perasaan anak-anak. Mereka mungkin tertekan dengan situasi ini lalu kebarangkalian pelbagai gejala negatif lain akan turut timbul apabila mereka besar kelak.

Sebagai insan yang mempunyai akal dan fikiran, kita perlu membezakan antara positif dan negatif dalam kehidupan berumahtangga. Pembelajaran itu penting namun perlu diukur tahapnya supaya tiada kesan buruk pada masa akan datang. Rumahtangga merupakan bahtera yang perlu dipandu oleh ketua yang berkelayakan dan dapat membawa kita kearah yang lebih harmoni dan indah. Suami isteri adalah ‘role model’ bagi anak-anak dan perlu menjadi contoh terbaik untuk mereka membesar dengan sepenuh kasih sayang dan juga dapat menjadi insan yang berguna pada bangsa dan negara.

No comments:

Post a Comment