Sunday, December 1, 2013

Keganasan Rumahtangga

Wanita yang bergelar isteri ialah hak mutlak seorang suami untuk dikasihi, dicintai dan dilindungi sepanjang perkahwinan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Rumahtangga yang bahagia merupakan impian setiap wanita di dunia ini untuk hidup bersama-sama dengan suami yang mereka cintai. Bukan sahaja mengimpikan mahligai bahagia di dunia malah turut menginginkan kebahagiaan sehingga ke Syurga bersama-sama suami.
Hakikatnya, kadangkala impian yang diinginkan boleh berubah menjadi igauan ngeri dan tidak dapat dijangkakan oleh para isteri. Perubahan sikap oleh para suami selepas mendirikan rumahtangga dapat dilihat melalui tingkah laku mereka yang semakin hari semakin dingin dan mula berani untuk mengangkat tangan terhadap isteri tanpa ada sebab yang munasabah.
Isu keganasan rumahtangga semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Suami dengan mudahnya memukul dan menendang isteri tanpa ada sekelumit rasa kasihan terhadap isteri yang tidak bersalah. Mereka memperlakukan isteri seperti ‘punching bag’ yang boleh ditendang, diterajang, dan dipukul sesuka hati walhal ia berpunca daripada perkara remeh dan tidak terlintas oleh akal fikiran akan menjadi punca utama.
Sikap panas baran yang sudah sedia ada dalam diri si suami merupakan faktor utama kepada berlakunya keganasan dalam rumahtangga. Golongan panas baran ini mempunyai pemikiran yang tidak rasional dan ada kalanya gagal untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya ketika berdepan dengan masalah lalu melepaskan semua tekanan terhadap si isteri.


Bagi si isteri yang menjadi mangsa perlakuan ganas suami, mereka hanya mendiamkan diri tanpa melakukan apa-apa tindakan yang sewajarnya. Ini disebabkan oleh perasaan sayang yang masih ada untuk si suami walaupun mereka telah diperlakukan dengan teruk. Golongan isteri ini kebanyakannya akan terus bersabar sekiranya mereka teruk dipukul oleh suami kerana memikirkan anak-anak yang masih memerlukan ibu dan ayah.
Kebanyakan keganasan rumahtangga ini tidak dilaporkan kerana ianya merupakan masalah peribadi dan amat sulit untuk pengetahuan umum. Mangsa akan terus berdiam diri selagi mereka mampu dan hanya akan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya kesabaran mereka telah sampai hadnya. Ketika ini, mungkin sahaja keadaan mereka telah teruk dan sudah sampai tahap yang kritikal.
Situasi sebegini mendatangkan kemudaratan terutamanya terhadap anak-anak yang melihat perlakuan si ayah terhadap ibu mereka. Saban hari mereka dipertontonkan dengan adegan ayah memukul ibu walaupun disebabkan oleh hal yang remeh temeh akan membekaskan kesan dalam perasaan anak-anak. Mereka mungkin tertekan dengan situasi ini lalu kebarangkalian pelbagai gejala negatif lain akan turut timbul apabila mereka besar kelak.

Sebagai insan yang mempunyai akal dan fikiran, kita perlu membezakan antara positif dan negatif dalam kehidupan berumahtangga. Pembelajaran itu penting namun perlu diukur tahapnya supaya tiada kesan buruk pada masa akan datang. Rumahtangga merupakan bahtera yang perlu dipandu oleh ketua yang berkelayakan dan dapat membawa kita kearah yang lebih harmoni dan indah. Suami isteri adalah ‘role model’ bagi anak-anak dan perlu menjadi contoh terbaik untuk mereka membesar dengan sepenuh kasih sayang dan juga dapat menjadi insan yang berguna pada bangsa dan negara.

Wednesday, November 13, 2013

^____^




Siapa Yang Bersalah

Kematian sememangnya kejadian yang amat menyedihkan terutamanya bagi keluarga yang mengalami situasi ini. Namun begitu, kematian bukan diatas kerelaan sendiri akan mendatangkan rasa tidak puas hati bagi mereka yang terlibat dengan si mangsa atau yang mempunyai pertalian darah. Situasi ini menyebabkan keluarga yang menjadi mangsa akan menuntut bela di atas kematian yang disengajakan. Namun, adakah pernah kita terfikir kematian itu adakah benar-benar disengajakan ataupun tidak disengajakan? Kadang kala kita tidak terlintas untuk membunuh namun atas situasi tertentu kita terpaksa untuk melakukannya.
Kontroversi kes kematian GOPAL, 22, yang merupakan suspek kes rogol dan bunuh serta mencuri kereta mewah semasa tahanan polis telah menyebabkan  pelbagai spekulasi terutamanya bagi keluarga mangsa dan juga kaum India yang menganggap ianya merupakan satu pembunuhan. GOPAL meninggal selepas lima hari dalam tahanan polis di Subang Jaya.
Sebagaimana yang diketahui umum, sebelum meninggal, GOPAL merupakan suspek kepada beberapa siri rogol dan bunuh namun kesemua mangsa tidak mahu melaporkan kejadian yang berlaku kerana malu dan takut dicemuh masyarakat. Pihak polis pula mempunyai kesemua bukti yang menunjukkan GOPAL benar-benar terlibat dengan jenayah. Hakikatnya, walaupun telah meninggal GOPAL masih tetap akan digelar sebagai perogol dan telah melakukan kesalahan yang besar dengan membunuh. Hukuman yang selayaknya dijatuhi kepadanya ialah hukuman mati mandatori.
Mungkin sahaja kematian GOPAL dianggap sebagai pembunuhan dan polis yang terlibat itu dianggap pembunuh, namun perlu diingatkan bahawa GOPAL merupakan penjenayah yang merbahaya dan mungkin ramai lagi wanita yang akan menjadi mangsanya jika GOPAL tidak ditahan. Penjenayah perlu dihukum sehingga mereka benar-benar berubah dan insaf tanpa mengira jenis bangsa dan kaum. Kesalahan mungkin dilihat pada pihak polis yang telibat ketika proses tahanan itu, namun terdapat lima lagi suspek yang turut bersama-sama GOPAL dan mereka kesemuanya merupakan penjenayah yang diburu dan melakukan jenayah di sekitar bandar Kuala Lumpur. Ada diantara mereka berasal dari negara lain.
Sebagai masyarakat yang memerhati, kita mempunyai andaian dan tanggapan yang berlainan antara satu sama lain. Sekiranya kita menjadi mangsa kepada penjenayah itu, kita mungkin menginginkan penjenayah itu dihukum dengan seberat-beratnya. Tetapi sekiranya kita merupakan ahli keluarga penjenayah, kita masih tetap inginkan pembelaan kerana berharap mereka boleh berubah ke arah kebaikan satu hari nanti. Namun perubahan itu belum pasti dan mungkin susah untuk menerima perubahan sekiranya kita sudah terbiasa dengan keadaan sebegitu.




Wednesday, November 6, 2013

Guys! You Should Know This Fact !

READ THIS PLEASE ! ^____^



Hargailah Cinta Yang Diberikan Oleh Allah SWT

Manusia itu dilahirkan dengan hati dan perasaan. Hati dan perasaan ini berbeza-beza. kadangkala hati kita gembira, kadang kala kita sedih dan ada kalanya kita kecewa, marah, dan sakit hati. Hati dan perasaan juga mudah tersentuh. Melihat orang yang dalam kesusahan menbuat kita tersentuh dan sedih. Melihat orang yang dalam kebahagiaan membuatkan kita gembira dan bahagia jua.
Namun tika Allah swt tiba-tiba detikkan hati kita ini dengan perasaan cinta dan kasih kepada hambanya yang lain, itu bermakna Allah memberi peluang untuk kita merasai apa itu kasih sayang dan cinta. Jangan disoalkan kenapa adanya perasaan sebegitu tetapi hargailah ia. Perasaan cinta dan kasih itu boleh ditarik dan diberikan bila-bila masa sahaja oleh Allah swt kepada sesiapa yang Dia kehendaki. 

Friday, November 1, 2013

Media & Siber


Dahulunya, perkembangan media tidak begitu menyeluruh dan masyarakat hanya bergantung sepenuhnya kepada media tradisional seperti surat khabar, radio dan television. Kemudian, muncul media baru seperti Internet yang menyaksikan beberapa perubahan dalam kalangan masyarakat dengan dunia tanpa sempadan membolehkan apa jua informasi dan maklumat diperolehi  dihujung jari anda dengan cepat dan pantas.
Pada era 1990-an, Malaysia berubah dan berhadapan dengan isu globalisasi apabila munculnya Internet yang membolehkan masyarakat berhubung antara satu sama lain dan mendapatkan pelbagai informasi yang diingini dengan hanya ‘klik’ pada ‘link’ yang telah diberikan. Diantara kemudahan yang disediakan oleh Internet ialah laman web, blog, facebook, youtube dan google.
Kebebasan media dan siber di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara Asia yang lain. Di Malaysia, kerajaan dan undang-undang telah menetapkan beberapa akta untuk mengawal kebebasan media ini iaitu :

    1)    Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA)
    2)    Akta Rahsia Rasmi (OSA)
    3)    Akta Hasutan (SA)
    4)    Akta Penyiaran
    5)    Akta Penerbitan dan Import
    6)    Akta Percetakan dan Penerbitan (PPPA)

Pada tahun 1998, telah termaktubnya Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu ketika negara berdepan dengan kancah politik antara mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun begitu, kebebasan siber ini tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh kerajaan. Perkembangan pesat dunia siber ini membolehkan penggunanya melayari pelbagai jenis laman web untuk mendapatkan apa yang diingini oleh mereka. Ini termasuklah melayari laman-laman web lucah (pornography) yang tidak disekat dan juga membolehkan kanak-kanak dan remaja bawah umur untuk melayarinya.

Media di Malaysia kini dilihat semakin perpihak kepada siapa ‘rejim’ dan pemiliknya. Bagi kesahihan berita pula sudah semakin terhakis dan semakin lari dari ketepatan informasi dan maklumat yang sebenarnya. Keadaan sebegini dapat dilihat ketika Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung dan bagaimana media memainkan peranan bagi menarik minat serta mempengaruhi penonton dan pembaca untuk memilihkan calon dari pro-kerajaan ataupun pro-pembangkang.


Peranan media sebagai medium untuk mempengaruhi masyarakat sekeliling amatlah diperlukan supaya mereka menyedari situasi negara ini dan dapat mengetahui baik buruk sesuatu kejadian yang berlaku serta memperbetulkan tanggapan salah di kalangan rakyat. Oleh itu, media perlu bertindak sebagai ejen untuk menyatupadu dan menghapuskan konflik yang bertentangan dengan nilai dan sikap di kalangan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu juga bagi membentuk situasi dan keadaan masyarakat yang dapat berganding bahu untuk membangunkan negara. 

Thursday, October 31, 2013

Jangan Berhenti 2

Tika Jiwa Terus Hanyut Dalam Lalai nya Mimpi, Mendongak Dagu Mohon Dilindungi, Memberi Peluang Perbaiki Diri. 
Dalam Pengharapan Hidup Diberkati, Mensyukuri nikmat Allah swt Dengan Sepenuh Hati.